Assalamualaikum saudara dan saudari yang senantiasa berada di bawah lindungan Allah SWT hendaknya. Pada hari ini kita akan mengupas dengan lebih mendalam mengenai sihir, atapun lebih popular di kalangan masyarakat melayu sebagai santau.
Topik ini akan lebih panjang dan sedikit mendalam berbanding topik-topik sebelum ini. Oleh itu, maka persiapkanlah diri anda untuk membaca dan memahami konten pada kali ini.
Topik ini akan dibahagikan kepada beberapa posting kerana topik ini akan dikupas dengan penuh mendalam. Sila ikuti topik ini sehingga selesai di mana ianya akan bersambung dari masa ke semasa.
Ayoh bermula! Bismillahirahmanirahim...
Sihir, atau lebih popular disebut santau adalah satu ilmu hitam yang digunakan oleh individu untuk mendapatkan, atau merosakkan, atau memusnahkan sesuatu secara batil.
Manusia dan sihir tidak dapat di pisahkan, disebabkan secara alaminya manusia penuh dengan perasaan dengki, cemburu, keinginan untuk memiliki sesuatu, cinta serta kasih. Terdapat beberapa pengertian dan kefahaman kepada sihir/ santau ini.
Untuk berbicara mengenai sihir ini adalah terlalu sukar kerana sifatnya yang terlalu kompleks dan berseni, namun kita akan berusaha sedaya dan upaya untuk membincangkan isu ini dengan mendapatkan informasi dari pelbagai sumber yang dimuatkan dalam beberapa posting.
Sihir dari segi istilah merupakan satu perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang disihir secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus, dan dilakukan di luar hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu, contohnya menyakiti seseorang, mengubati penyakit dan juga meramal masa hadapan.
Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu pada kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.
Sihir ini sebenarnya sudah wujud sejak dari zaman dahulu lagi. Dalam satu catatan sejarah Mesir Purba, terdapat satu mantera yang telah digunakan untuk merawat kecederaan yang disebabkan oleh kebakaran, seperti kata-kata Isis dalam satu lagenda Mesir "Isis dan Orisis" untuk menyembuhkan kanak-kanak bernama Horus yang dibakar oleh ahli sihir.
" Keluarlah, wahai engkau yang datang di dalam gelap dan masuk secara sembunyi-sembunyi! Adakah engkau datang untuk mengucup kanak-kanak ini? Aku tidak mengizinkan mengucupnya. Adakah engkau datang untuk mengambilnya? Aku tidak mengizinkanmu mengambilnya dariku. Aku telah melindunginya darimu dengan rumput apis yang memedihkanmu, dengan bawang yang menyakitkanmu, dengan madu yang manis dirasa oleh makhluk-makhluk yang hidup dan pahit di mulut makhluk-makhluk yang mati, dengan beberapa bahagian yang busuk dari ikan abad dan dengan tulang ikan sungai".
Ibnu Khaldun dalam buku Muqaddimah menjelaskan sihir seperti berikut:
“ Ilmu sihir dan tilik adalah satu ilmu tentang persedian jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan sama ada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Yang pertama adalah sihir dan yang kedua adalah tilik. Oleh kerana ilmu-ilmu ini ditolak di sisi syariat kerana mengandungi bahaya, dan kerana di antara syarat-syaratnya ialah mengadap selain daripada Allah, seperti bintang atau sebagainya, maka kitab-kitabnya telah lenyap di kalangan manusia kecuali yang terdapat dalam kitab-kitab bangsa-bangsa purba termasuk yang ujud sebelum Nabi Musa AS seperti bangsa Qibti dan Kaldani".
Terdapat beberapah kisah mengenai sihir yang tertulis dalam Al-Quran. Antaranya:-
1. Kisah Malaikat Harut dan Marut
Harut dan Marut (Surah Al-Baqarah, ayat 102), yang turun untuk menentang tukang-tukang sihir yang jahat pada zaman tersebut.
Antara sihir yang diajar oleh Harut dan Marut kepada manusia adalah sihir yang boleh memisahkan antara suami dan isteri. Tujuan kedua-dua malaikat ini adalah untuk menunjukkan betapa sihir itu menuju ke jalan kekufuran. Sihir memisahkan suami dan isteri telah diajarkan di negeri Babil sebagaimana terdapat dalam beberapa mentera lama yang tertulis dalam bahasa Sumari, iaitu bahasa kuno yang wujud beberapa abad sebelum masihi.
2. Kisah Nabi Musa dan Firaun.
Setiap Nabi dikurniakan mukjizat yang merupakan lumrah di kalangan umatnya pada masa itu. Nabi Musa AS dikurniakan mukjizat untuk menentang tukang-tukang sihir yang bekerja untuk Firaun semasa zaman baginda, yang pada masa itu adalah pemimpin dan ketua-ketua kaum, sebagaimana dikisahkan dalam Surah Taha, ayat 63-70.
20:63 " Mereka berkata: "Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama".
20:64 "Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini".
20:65 Mereka berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?"
20:66 Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.
20:67 Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
20:68 Kami berfirman kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
20:69 "Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".
20:70 (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa".
3. Kisah Ratu Balqis
Kisah mengenai takhta Ratu Balqis semasa zaman Nabi Sulaiman yang dapat dipindahkan menggunakan sihir dengan sekelip mata oleh sejenis jin seperti yang diceritakan dalam Surah An-Naml, ayat 38-42.
27:38 Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"
27:39 Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".
27:40 Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".
27:41 Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian".
27:42 Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)".
*Nabi sulaiman mempunyai mukjizat untuk bercakap dengan haiwan dan menjadi tuan kepada Jin.
Adapun mereka yang mengamalkan sihir ini adalah mereka yang sudah jauh tersesat dari Allah SWT kerana mereka telah menyekutukan Sang Pencipta dan meminta akan sesuatu selain daripada-Nya.
Apabila seseorang individu ataupun kumpulan, meminta akan sesuatu selain daripada Allah, maka mereka adalah dalam golongan orang yang syirik dengan menyekutukan Allah dan hukumnya adalah haram dan berdosa besar.
Pada perkongsian akan datang, kita akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai:
1. Jenis-jenis sihir.
2. Cara sihir di hantar.
3. Tanda-tanda seseorang terkena sihir.
4. Langkah mencegah/mengelak sihir dan merawat.
5. Cerita-cerita sihir melayu.
Sumber: wikipedia, Fatehteam, Surah




0 Comments